In Ulasan Buku

Ulasan Buku : Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck



Tajuk: Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck
Penulis: Hamka
Penerbit: PTS Publishing House
Tema: Percintaan, persahabatan, keagamaan dan adat istiadat

Ringkasan plot (**Spoiler Alert!)
Setelah kematian orang tuanya di Makasar, Zainuddin berhijrah ke Batipuh yang dipengaruhi kuat dengan adat budaya Minangkabau. Di situ dia mengenali Hayati dan cinta mereka mula berputik. Malangnya hubungan mereka ditentang oleh keluarga Hayati yang menganggap Zainuddin sebagai orang luar dan tidak bersuku meskipun Zainuddin berdarah Minangkabau dari sebelah ayah. Ini kerana ibunya berketurunan Bugis. Zainuddin terpaksa membawa diri ke kota Padang Panjang dan Hayati bersumpah akan terus setia menunggunya.

Selepas beberapa bulan terpisah, mereka berpeluang untuk bertemu kembali ketika pesta lumba kuda di Padang Panjang. Namun Zainuddin terkejut melihat perubahan penampilan Hayati hasil pengaruh sahabatnya bernama Khadijah yang dibesarkan dengan budaya kota. Lebih memilukan, keluarga Hayati mengambil keputusan untuk mengahwinkan Hayati dengan abang Khadijah iaitu Aziz. Biarpun Zainuddin berusaha memenangi Hayati dengan pujuk rayu dan juga pinangan berbekalkan sedikit wang pusaka sebagai hantaran, hasrat tulus Zainuddin ditolak mentah-mentah.

Zainuddin mencurahkan segala kedukaan dan kesedihan yang dialami ke atas lembaran kertas sebagai karya penulisan. Tanpa disangka, kisah hidupnya yang menyayat hati berjaya menarik minat masyarakat hingga mendapat  sambutan luar biasa. Zainuddin mengambil keputusan untuk memulakan hidup baharu dan mengembangkan bakat di Surabaya.

Pada kemuncak karier, sekali lagi takdir membawanya kepada Hayati yang mengikut suaminya berpindah ke Surabaya atas urusan kerja. Tabiat buruk Aziz yang suka berjudi menyebabkan pasangan itu tidak bahagia dan sering dibelenggu hutang. Akhirnya mereka tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka disita dan Aziz dibuang kerja. Zainuddin tidak teragak-agak untuk menghulurkan pertolongan dan membenarkan pasangan itu tinggal di rumahnya. Aziz yang berasa sangat malu telah pergi mencari pekerjaan di Bayuwangi dan berjanji akan kembali untuk menjemput Hayati. Tetapi, yang kembali ke pangkuan Hayati adalah sepucuk surat cerai dan sebuah berita duka bahawa Aziz telah meninggal dunia lantaran bunuh diri.

Hayati akhirnya meluahkan kepada Zainuddin bahawa cintanya tidak pernah sekali pun berpatah arah walaupun dia sudah menikahi orang lain. Aziz hanya dapat menawan jasadnya tetapi tidak hatinya. Cintanya masih suci buat Zainuddin seorang. Zainuddin juga masih mencintai Hayati tetapi rasa dendam dan amarah yang bersarang di jiwa mendorong Zainuddin untuk menyuruh Hayati pulang ke kampung halaman.

Setelah Hayati berangkat ke pelabuhan, barulah rasa sesal bertandang di hati Zainuddin. Dia tidak mahu lagi berpisah dengan gadis yang dicintai tetapi segalanya sudah terlambat. Kapal Van Der Wijck yang membawa Hayati tenggelam di tengah-tengah lautan. Hayati dapat diselamatkan namun hayatnya tidak panjang. Dia menghembuskan nafas terakhir di hospital, di dalam dakapan dan raungan Zainuddin.

Memorable quotes
Perempuan yang budiman adalah laksana matahari yang terbut di waktu fajar bagi orang yang menunggu siang. Perempuan yang budiman adalah laksana surat jendral yang dikirim dari medan perang menyatakan kemenangan kepada raja yang mengutusnya. Dia adalah sebagai udara, tampang kehidupan yang akan dihisap oleh manusia dalam nafasnya yang turun naik.
(Muka surat 49)

Ketahuilah bahawa Allah yang menjadikan matahari dan memberinya cahaya. Allah yang menjadikan tubuh dan memberinya nyawa. Allah yang menjadikan mata dan memberinya penglihatan. Maka Allah pulalah yang menjadikan hati dan memeberinya cinta. 
(Muka surat 62)

Cinta adalah iradat Tuhan, dikirimnya ke dunia supaya tumbuh. Kalau dia terletak di atas tanah yang lekang dan tandus, tumbuhnya akan menyiksa orang lain. Kalau dia datang kepada hati yang keruh dan kepada budi yang rendah, dia kana membawa kerusakan. Tetapi jika dia hinggap kepada hati yang suci, dia akan mewariskan kemuliaan, keikhlasan dan taat kepada Ilahi. 
(Muka surat 62-63)

Cinta bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sali sedan. Tetapi cinta menghidupkan pengharapan, menguatkan hati dalam perjuangan menempuh onak duri penghidupan.
(Muka surat 78)

Di hadapan cahaya matahari yang baru naik, di hadapan roh ibu bapa yang sudah sama berkalang tanah, saya katakan bahwa jiwaku telah diisi sepenuh-penuhnya oleh cinta kepadamu. Cintaku kepadamu telah memenuhi hatiku, telah terjadi sebagai nyawa dan badan adaanya.
(Muka surat 79)

Dari lurah belas kasihan  mendaki ke puncak bukit cinta, sekarang telah menurun kemballi kepada lurah kasihan. Dan cinta bilamana telah menurun kepada belas kasihan, tandanya lama-kelamaan dia akan berangsur turun.
(Muka surat 106)

Sekarang dia masyhur, memang...karena yang dijalinnya menjadi hikayat, menjadi syair, menjadi tonil, semua adalah penderitaannya sendiri, air matanya, bahkan kadang-kadang darahnya. Itulah sebab saya katakan, dia beruntung hanya kelihatan oleh orang luar. Pada batinnya dia seorang yang melarat.
(Muka surat 245)

Ya, demikianlah perempuan, dia hanya ingat kekejaman orang kepada dirinya, walaupun kecil, dan dia lupa kekejamannya sendiri kepada orang lain walaupun bagaimana besarnya
(Muka surat 256)


Komen dan Ulasan
Saya dah pernah menyaksikan teater TKVDW di Istana Budaya dan menonton filem ini di Netflix namun nikmat membaca ternyata berbeza. Imaginasi lebih bebas meneroka perasaan, pemikiran dan latar suasana yang dihidangkan penulis.

Bagi saya buku ini lebih daripada sekadar fiksyen cinta. Ini buku falsafah. Ia menyentuh bukan sahaja hati, malah akal. Daripada buku ini, saya belajar sesuatu yang baharu tentang cinta; bahawasanya cinta yang ikhlas tidak didorong hawa nafsu akan membijaksanakan manusia.

Biarpun bahasa yang digunakan amat puitis dan indah, ia tidaklah overly bombastic sampai susah nak faham. Plot cerita juga bergerak pantas dan tidak begitu meleret. Karya ini ditulis sekitar era kolonial Belanda namun tak terasa lapuk meskipun menggunakan "cinta dua darjat" sebagai modal. Karya ini juga sarat dengan nilai keagamaan tetapi ia digarap penuh kemas hingga tak terasa berat untuk dihadam. Inilah karya malar hijau yang akan sentiasa hidup dan mekar sepanjang zaman.

Kalau diikutkan, plot cerita sebenarnya ringkas je dan straight to the point tapi kesan yang ditinggalkan amat dalam, meresap jauh ke dasar nurani. Baruntungnya Buya Hamka dikurniakan kebijaksaan dan bakat yang besar untuk menulis karya phenomenal sebegini.  Dan beruntungnya kita kerana dapat membacanya sekaligus menuai setiap butir mutiara hikmah yang terkalam di dalam!


Sekian, semoga bermanfaat!

Read More

Share Tweet Pin It +1

0 Comments

Powered by Blogger.