Tajuk: Hikayat Awang Sulung Merah Muda
Oleh: Pawang Ana & Raja Haji Yahya
Penerbit: Dewan Bahasa & Pustaka
Tema: Riwayat hidup, pengembaraan, epik-fantasi
Bil. Muka Surat: 124
Ringkasan plot (**Spoiler Alert!)
Cerita dimulakan dengan salasilah Awang Sulung Merah Muda yang berasal daripada keturunan Raja Si Helang Mawai. Raja Si Helang Mawai mempunyai empat orang puteri iaitu Uli Emak Si Anjing, Uli Pati Talak Terengganu, Uli Emak Hitam Pasir Panjang dan Si Helang Bakau. Puteri Si Helang Bakau merupakan ibu kepada Awang Sulung Merah Muda. Setelah kemangkatan ibu bapanya, Awang Sulung Merah Muda dibesarkan oleh Uli Emak Si Anjing bersama suaminya Datuk Batin Alam di Bandar Mengkaleh.
Awang Sulung Merah Muda sangat hebat dan berbakat dalam pelbagai jurusan ilmu termasuklah ilmu silat, ilmu Quran, ilmu nahu etc. Uli Emak Si Anjing bercadang untuk mengahwinkan Awang Sulung Merah Muda dengan anaknya iaitu Puteri Dayang Nuramah. Namun, akibat sebuah perbalahan dengan Datuk Batin Alam, Awang Sulung Merah Muda diusir dari rumah.
Ketampanan dan kehebatan Awang Sulung Merah Muda telah sampai ke pengetahuan Puteri Dayang Seri Jawa dari negeri Semarang. Puteri Dayang Seri Jawa telah berlayar ke Bandar Mengkaleh untuk menemui Awang Sulung Merah Muda. Awang Sulung Merah Muda tidak menonjolkan dirinya yang sebenar di hadapan puteri tersebut sebaliknya dia menyamar sebagai budak hitam yang selekeh. Meskipun penampilannya compang-camping, Puteri Dayang Seri Jawa sudi menolong dan memberi perlindungan kepada Awang Sulung Merah Muda.
Hubungan Awang Sulung Merah Muda dan Puteri Dayang Seri Jawa akhirnya diketahui Puteri Dayang Nuramah. Kerana sangat cintakan Awang Sulung Merah Muda, Puteri Dayang Nuramah mengumpulkan bala tentera dan melancarkan perang ke atas Puteri Dayang Seri Jawa demi merebut kembali kekasih hatinya.
Awang Sulung Merah Muda menggunakan kesaktiannya untuk menghentikan peperangan tersebut. Angin kuat diseru oleh Awang Sulung Merah Muda hingga kapal yang dinaiki Puteri Dayang Seri Jawa terdampar ke Pulau Tapai. Di situ identiti sebenar Awang Sulung Merah Muda terbongkar. Dia juga sempat menyelamatkan angkatan Puteri Dayang Seri Jawa daripada serangan perompak laut. Disebabkan budi pekertinya, dia dinikahkan dengan Puteri Dayang Seri Jawa.
Dalam perjalanan pulang ke Semarang, Awang Sulung Merah Muda dan angkatan Puteri Dayang Seri Jawa singgah di sebuah negeri. Di situ dia bertemu dengan makciknya yang sudah lama terputus hubungan iaitu Uli Pati Talak Terengganu. Uli Pati Talak Terengganu sangat berbesar hati dapat bertemu kembali dengan anak saudaranya. Dia pun mengahwinkan Awang Sulung Merah Muda dengan anaknya iaitu Tuan Puteri Pinang Masak.
Puteri Dayang Seri Jawa menggunakan helah untuk mendapatkan suaminya kembali. Setelah Awang Sulung Merah Muda pulang ke kapal, Puteri Dayang Seri Jawa terus membawa mereka berlayar hingga mereka tiba di negeri Pasir Panjang. Di situ Awang Sulung Merah Muda bertemu dengan seorang lagi makciknya iaitu Uli Emak Hitam Pasir Panjang. Uli Emak Hitam Pasir Panjang pun mengahwinkan Awang Sulung Merah Muda dengan anaknya iaitu Puteri Mayang Mengurai.
Puteri Dayang Seri Jawa sekali lagi menggunakan helah untuk mendapatkan Awang Sulung Merah Muda kembali. Mereka terus berlayar hingga tiba di Semarang. Di situ Awang Sulung Merah Muda telah dicabar oleh bekas tunangan Puteri Dayang Seri Jawa iaitu Tuanku Mambang Saujana. Awang Sulung Merah Muda berjaya memenggal Tuanku Mambang Saujana sekaligus diangkat sebagai raja negeri Semarang.
Awang Sulung Merah Muda menerima penghormatan dan utusan ufti daripada negeri Pati Talak Terengganu dan Pasir Panjang. Dia turut bersatu semula dengan Puteri Dayang Nuramah di Bandar Mengkaleh. Setiap tahun Awang Sulung Merah Muda bergilir-gilir melawat isteri-isterinya di setiap negeri di samping menjalin ikatan diplomatik.
Komen dan Ulasan
Baca prosa klasik ni memang mencabar. Bukan saja kosa kata dan gaya bahasa berbeza, struktur ayat pun tak sama macam penulisan moden. Nama watak pun bukan main panjang! Bertambah mencabar apabila suasana atau barang-barang yang digambarkan tak lagi dipakai oleh masyarakat zaman sekarang. Kena rajin minta bantuan Professor Google dan daya imaginasi kena kuat! Apa pun, sebagai penggemar karya klasik, semua perkara tu tak menggugat minat dan semangat untuk terus membaca hingga ke halaman akhir.
Jalan cerita Hikayat Awang Sulung Merah Muda ni bagi saya agak membingungkan terutamanya pada awal penceritaan yang memperkenalkan salasilah dan hubungkait antara Awang Sulung Merah Muda dengan beberapa watak lain di dalam cerita. Memang kena tumpukan perhatian bila membaca. Saya sendiri siap lakar peta minda agar mudah faham. Haha, mungkin saya yang kurang ilmu dan pendedahan berkaitan prosa tradisional jadi minda saya ni rasa tepu je sepanjang pembacaan.
Sama seperti hikayat-hikayat lain, cerita ni pun tak lari daripada unsur magis dan kuasa mistik. Tapi elemen fantasinya tidaklah terlalu "jauh" dan "tinggi" hingga melibatkan dewa dewi mahupun alam kayangan. Bait seloka dan pantun juga kerap muncul sebagai selingan membuatkan saya seronok menikmati keindahan bunga bahasa yang digubah oleh nenek moyang kita.
Pengajaran yang saya dapat daripada hikayat ni pertamanya jangan menilai orang dari segi luaran. Bantulah seseorang tanpa mengambil kira darjat dan paras rupa. Kedua, apa jua cabaran atau rintangan yang datang dalam hidup, kita perlu terus berusaha untuk mencapai perkara yang kita hajatkan. Jangan peduli kata orang kerana kita yang menentukan arah tuju hidup kita.
Sekian, semoga bermanfaat.

0 comments:
Post a Comment