In Ulasan Buku

Ulasan Buku : Politik Kandang



Tajuk: Politik Kandang
Oleh: George Orwell
Penerbit: Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)
Tema: Satira, politik, falsafah
Bil. Muka Surat: 150

Ringkasan plot (**Spoiler Alert!)
Tak rela terus dieksploitasi dan diperhambakan, haiwan-haiwan di Ladang Manor melancarkan pemberontakan dan revolusi besar-besaran yang menyebabkan pemilik ladang tersebut, Tuan Jones terpaksa melarikan diri. Haiwan-haiwan di ladang itu pun memulakan sistem pemerintahan dan perlembagaan tersendiri berpandukan Rukun Tujuh yang dicipta untuk memelihara keharmonian dan keadilan sesama mereka. Nama Ladang Manor juga ditukar menjadi Ladang Binatang.

Selaku haiwan paling cerdik, dua ekor babi bernama Snowball dan Napoleon mengetuai urusan pentadbiran berlandaskan sistem demokrasi yang meraikan kepelbagaian pendapat, debat dan mesyuarat. Pembahagian kerja di ladang dilakukan dengan penuh efisien berdasarkan tahap keupayaan setiap haiwan malah sistem pencen turut diperkenalkan. Kepentingan pendidikan juga dititikberatkan dengan menggalakkan haiwan-haiwan untuk belajar membaca, mengira dan menulis. Namun, kebanyakan haiwan tidak mampu menghabiskan pembelajaran lantaran keupayaan minda yang terbatas dan kesibukan kerja.

Perbezaan idelogi antara Snowball dan Napoleon telah mengakibatkan perubahan besar dalam sistem pentadbiran. Snowball diusir dari ladang dan bermulalah era diktator bersifat tirani yang dikepalai Napoleon. Napoleon juga mengamalkan kapitalisme untuk mengembangkan ekonomi dengan melakukan aktiviti perdagangan melibatkan manusia di ladang-ladang berhampiran meskipun Rukun Tujuh dengan jelas mengharamkan hubungan baik melibatkan manusia. Secara tidak langsung, undang-undang terpakai di ladang itu dipinda dari semasa ke semasa oleh Napoleon bersesuaian hala tuju baharu.

Lama-kelamaan, berlaku ketidakseimbangan yang ketara dalam pembahagian tugas dan hasil pendapatan di ladang tersebut. Golongan babi mendapat hak istimewa dalam segala hal dengan alasan mereka memerlukan akses sumber terbaik agar urusan pentadbiran yang kompleks  dapat dilaksanakan dengan efektif. Haiwan-haiwan lain kekal setia terhadap golongan babi asalkan mereka dapat menjamin bahawa pemilik lama ladang itu, Tuan Jones, takkan kembali.

Tanpa disedari, penindasan dan perhambaan yang ditentang suatu masa dahulu telah kembali menyelubungi kehidupan haiwan-haiwan di ladang tersebut. Sayangnya, penindasan itu tidak terlihat di mata mereka kerana pemerintahan di ladang itu dijalankan oleh bangsa mereka sendiri itu babi. Mereka terus buta menyangka bahawa mereka telah bebas merdeka dan tanah ladang itu adalah milik mereka bersama meskipun setiap kelumit hasil bumi dikawal ketat oleh golongan babi.   

Lebih mengejutkan, babi kini hidup mewah dan berfoya-foya selain menjalinkan hubungan akrab dengan golongan manusia sehinggakan haiwan-haiwan lain tidak dapat membezakan siapakah binatang antara babi dan manusia.

Memorable quotes
"Manusia adalah satu-satunya makhluk yang hanya tahu makan, tapi tidak tahu menghasilkan makanan. Mereka tak mampu menghasilkan susu, tak mampu bertelur, terlalu lemah untuk menarik pembajak dan tak dapat berlari cukup pantas untuk menangkap arnah. Sungguhpun demikian, mereka tetap menjadi tuan kepada semua binatang." (Bab 1, Mukasurat 6)

"Tenaga kita yang mengerjakan tanah ini, najis kita yang menyuburkannya, tetapi kita tidak memiliki apa-apa selain kulit yang berada di tubuh badan kita ini saja." (Bab 1, Mukasurat 6)

"..keadaan tidak pernah lebih buruk atau lebih baik, dan takkan menjadi jauh lebih baik atau lebih buruk, kerana menurutnya kepayahan dan kekecewaan adalah hukum kehidupan yang tidak dapat dipinda-pinda." (Bab 10, Mukasurat 139)

"Makhluk-makhluk di luar beralih melihat daripada babi kepada manusia, kemudian daripada manusia kepada babi, dan kemudian sekali lagi daripada babi kepada manusia; namun mustahil kini untuk membezakan antara kedua-duanya." (Bab 10, Mukasurat 150)

Komen dan Ulasan
Boleh saya katakan, ini pembacaan paling berkualiti buat saya tahun ni. Saya habiskan buku ni hanya dalam tempoh satu hari. Buku ni buat saya termenung jauh. Sedih bercampur marah dan kesian dengan nasib haiwan-haiwan di Ladang Manor selain babi. Orang yang tertindas tak sedar bahawa mereka sedang ditindas malah berterima kasih kepada si penindas, sebab si penindas adalah rakan seperjuangan sendiri. Tujuan asal revolusi dilupakan dan penjajah yang diusir suatu masa dahulu dijadikan rakan karib dan dilayan lebih istimewa seolah-olah tiada apa pernah berlaku. Somehow relatable in real-life setting, kan? 

Buku ni mengajar saya betapa pentingnya pendidikan dan ilmu pengetahuan. Haiwan-haiwan lain sangat mudah ditipu dan dimanipulasi oleh babi kerana mereka tidak mampu membalas hujah-hujah babi yang kompleks di samping tiadanya hitam putih. Mereka ditindas bukan sebab mereka malas, tetapi sebab mereka jahil. Ini faktanya.

Kritikan sosial melalui karya satira seperti ini sememangnya satu bahagian sastera yang amat saya minati dan saya sangat berharap banyak lagi karya serupa dapat dihasilkan pada masa akan datang, lebih-lebih lagi dengan iklim sosial semasa yang penuh rencah dan sentiasa pantas berubah.

Sekian, semoga bermanfaat. 




 

Read More

Share Tweet Pin It +1

0 Comments

Powered by Blogger.