Tajuk: Perjuangan Sungai Batu : Sebuah Memoir
Penulis: Nur Dini
Penerbit: Patriots Publication
Kategori: Sejarah, Jurnal, Catatan Peribadi, Buku Ilmiah
Sebagai pencinta sejarah, boleh saya katakan buku ni memang "a must-have"lah. Lebih-lebih lagi bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan sejarah Sungai Batu atau Kedah Tua secara dekat. Buku ini menyingkap perjalanan penulis sebagai salah seorang tonggak utama yang menyumbang kepada pembukaan tapak arkeologi Sungai Batu kepada umum - tanpa mengenepikan sumbangan besar pihak lain antaranya pasukan pengkaji dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) USM.
Pelbagai rintangan dalaman dan luaran terpaksa diharungi oleh penulis dalam perjuangan memartabatkan sejarah Sungai Batu. Sokongan keluarga yang kian pudar. Salah faham antara teman sepasukan. Kancah politik yang membelit. Isu dana dan sumber kewangan. Gangguan mistik yang menguji daya spiritual. Dalam erti kata lain, penulis telah diserang bertubi-tubi dari segala sudut!
Tapi, kalau Allah dah kata "jadi", maka jadilah.
Tak ada siapa boleh menghalang kehendak Yang Maha Berkuasa.
Tapak arkeologi Sungai Batu akhirnya dibuka dan menerima pengiktirafan daripada pakar-pakar arkeologi yang mewakili lima tamadun dunia iaitu Mesopotamia, Indus, Mesoamerica, China dan Greek-Rome. Menurut penulis, kejayaan manis ini adalah hasil titik peluh banyak pihak, bukan hanya penulis seorang semata-mata. Apa yang saya faham, penulis kini sudah tidak lagi terlibat secara langsung dengan Sungai Batu dan menumpukan perhatian kepada kehidupan peribadi. Namun jasa yang dilimpahkan perlulah terus diingati, dihargai dan dicontohi.
Bagi saya, buku ni memang sangat membuka mata. Barulah saya tahu betapa sukarnya jalan yang perlu dirintangi oleh pihak-pihak di belakang tabir demi mengangkat martabat Sungai Batu. Buku ni sedikit sebanyak menyemarakkan semangat dan buat saya rasa terpanggil untuk sama-sama memikul tanggungjawab dalam menaikkan nama Sungai Batu biarpun saya hanya rakyat biasa yang tak ada kaitan pun dengan bidang sejarah.
Lagipun, kita kan "Penyambung Warisan", seperti kata Allahyarham Haji Sudirman dalam bait lagunya. Marilah kita sama-sama cakna, ambil tahu dan berikan sokongan padu kepada sejarawan-sejarawan kita yang tak henti-henti berjuang demi anak bangsa.
Sekian, semoga bermanfaat!

0 comments:
Post a Comment